KULIAH UST NASARUDDIN ALI DI SURAU AL-HIDAYAH

Assalamualaikum w.m;

Saya tidak berhasrat untuk mengulas isu Al-Fadhil Ust Nasarudin Ali dan tulisan-tulisan di dalam blog Al-Fadhil Ustaz Hishamuddin Mansor. Meskipun ramai sahabat yang bertanyakan pandangan saya, jawapan saya ialah : Diam adalah lebih baik !

Zaman sekarang, seperti kata Nabi SAW adalah zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian. Manusia semakin hari semakin bergerak menuju ke arah kejahatan. Tidak kira mereka ini ulama' mahupun juhala'. Kejahatan ulama' tidaklah sama sekali serupa seperti kejahatan juhala' kerana setiap ulama' yang melakukan seseuatu kejahatan mempunyai dalil dan nas yang tersendiri untuk menghalalkan kejahatannya. Maka, sewajarnya kita perlu amat berhati-hati dan berwaspada dengan kejahatan mereka ini.

Apabila berlaku sesuatu tuduh-menuduh atau fitnah-memfitnah, kita jangan cepat melatah lalu mengiyakan apa sahaja yang orang kata. Islam mengajar kita supaya hendaklah kita siasat perkara tersebut terlebih dahulu dan jangan menelannya secara bulat-bulat. Orang yang menyampaikan berita atau menolong memanjangkan berita itu pula, hendaklah dia bertanggungjawab dengan kebenaran berita tersebut serta sanggup bersedia untuk memikul dosa penipuannya sekiranya dia adalah pembohong. Pembohong yang bersumpah atas nama ALlah SWT semata-mata untuk menegakkan kebohongannya, maka bertambah lipat gandalah dosanya - dosa sesama manusia dan dosa kepada ALlah.

Malam semalam, saya ke Masjid Sendeng mengikuti kuliah mingguan Ust Nasaruddin. Tujuan saya ialah untuk mempelawa beliau sebagai salah seorang tenaga pengajar atau pengkuliah di Surau Al-Hidayah, lebih tepat lagi supaya beliau dapat mengisi malam kuliah saya yang akan saya kosongkan tidak lama lagi. Alhamdulillah, Ust Nasaruddin akan meneliti jadual kuliah beliau dan akan menghubungi saya tidak lama lagi.